PAGES

Friday, November 17, 2017

LUKISAN SEBAGAI TANDA KENANGAN

Bunga Rumput
Manusia sebenarnya lebih awal melukis sebelum pandai untuk menulis. Lukisan-lukisan awal yang ditemui di gua-gua zaman prasejarah menunjukkan bagaimana manusia pada masa itu mengunakan lukisan untuk menceritakan sesuatu.


Sebenarnya manusia itu sudah menjadi pelukis sejak dia dilahirkan lagi. Pelukis yang perlu melukis dan mencorakkan lukisan hidupnya. Imbas kembali saat kita di zaman kanak-kanak dahulu, masa itu kita bebas untuk melukis apapun ikut sesuka hati mengikut imaginasi kita sendiri tanpa mengenal batas.

Seingat saya dulu saat awal belajar waktu masih kanak-kanak, cikgu akan mulakan aktiviti belajar dengan banyak mewarna, selanjutnya barulah cikgu akan ajarkan melukis. Selepas berlalunya proses tersebut, satu hari cikgu tanyakan soalan, apakah cita-cita  kamu bila kamu dah besar nanti? Jawapannya mungkin dari lukisan yang pernah dilihat atau dilukis.


Oleh itu sangatlah penting untuk kita melukis gambaran dengan kebiasaan-kebiasaan yang baik kepada anak-anak supaya suatu hari nanti bingkai yang diperbuat itu mampu mempengaruhi jiwa generasi baru khususnya anak anak kita ketika mereka beranjak dewasa.

CERITA DALAM LUKISAN

Lukisan kebiasaannya mempunyai cerita sendiri namun selalunya ditafsir mengikut pemahaman individu itu, sama ada beliau pelukis lukisan sebenar, seorang pembeli yang memilikinya atau seorang pengumpul lukisan. Setiap Lukisan ada cerita peribadi individu yang memilikinya.

Kita masing-masing mempunyai cerita dalam melalui kehidupan walaupun dengan perkara yang sama seperti bercinta namun pengalaman yang dilalui pada setiap orang tidaklah pernah sama.
Pantai Haji Dorani
Saya bukanlah seorang pelukis, penjual atau pengumpul lukisan yang mempunyai pengetahuan luas dalam hal ini. Bagi saya seni itu bukan hanya sekadar satu lukisan tetapi objek yang membawa cerita masing-masing. 

Pengalaman hidup yang dilalui banyak mengajar saya dan saya "hidupkan" ia dalam bentuk sebuah lukisan untuk dikongsi melalui penulisan.

LUKISAN PERTAMA SAYA

Saya membeli lukisan yang pertama saya di Sumatera Barat ketika perjalanan pulang dari Danau Maninjau menuju ke Padang. 

Semasa berada dalam kenderaan menuju ke Padang, tiba-tiba di pertengahan perjalanan saya terfikir sesuatu untuk dibeli sebagai tanda kenang-kenangan saya pernah ke sini. 

Saya ajukan soalan itu kepada isteri saya, kata saya kalau boleh barang yang hendak dibeli itu biarlah tidak cepat rosak atau habis.

Belum sempat isteri saya cuba memberi jawapan, di depan pandangan saya ketika itu tiba-tiba saja terlihat deretan kedai-kedai lukisan. Di situlah saya membeli sebuah lukisan untuk dibuat sebagai tanda kenangan. 

Maka, itulah lukisan pertama saya.

No comments: